top of page

Co-opBank sasar raih untung lebih RM100 juta


KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama Malaysia Bhd (CBP) sasar raih keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih tinggi melebihi RM100 juta pada tahun ini.


Pengerusi CBP, Datuk Baharom Embi, berkata sasaran itu adalah berdasarkan prestasi semasa dan jumlah pengagihan pinjaman dari pihaknya.


Beliau berkata, ia akan menjadi keuntungan sebelum cukai pertama yang tinggi selepas mencatat PBT sebanyak RM86.156 juta bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021.


"PBT bank sentiasa meningkat setiap tahun dan pada tahun ini kami yakin dapat mencecah tiga angka. Ini kerana pada tahun lalu, PBT kami meningkat 2.4 peratus atau RM2 juta berbanding RM84.15 juta direkodkan pada tahun sebelumnya.


"Tetapi tahun ini, jumlah penyaluran pinjaman lebih tinggi dan pengukuhan pelanggan. Justeru itu kami yakin dapat mencapainya," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman CBP dengan empat syarikat di Kuala Lumpur semalam.


Baharom berkata, pada tahun ini juga CBP akan mempelbagaikan lagi produk perbankannya dengan memperkenalkan pinjaman sewa beli dalam tempoh terdekat.


Beliau berkata, pengukuhan produk perbankan terutamanya dalam pinjaman sewa beli akan meningkatkan asas pelanggan bank sekali gus melonjakkan kehadiran CBP di kalangan bank-bank tempatan lain di Malaysia.


Selain itu katanya, CBP turut memperkasakan perbankan digitalnya dengan menjalin kerjasama bersama Sedania As-Salam Capital.


"Ketika ini semua urusan dilaksanakan secara digital dan CBP juga tidak mahu ketinggalan dalam memperkasakan perbankan digital kami.


"Kami akan meneroka pilihan dalam menyediakan perkhidmatan perbankan digital bersama Sedania bagi keselesaan pelanggan kami.


"Penyediaan platform digital juga adalah salah satu langkah ke arah pendigitalan perbankan CBP sejajar dengan pelan perniagaan jangka masa panjang," katanya.




bottom of page