top of page

Fokus hartanah Islam

Petaling Jaya: Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (SASC), akan membangunkan platform hibah digital pertama di dunia yang memfokus kepada tawaran hartanah Islam.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nisa Ismail berkata, platform hibah digital itu akan diperkenal pada suku ketiga tahun ini dan akan ditawarkan kepada hampir 95 pelanggan institusi perkhidmatan kewangannya (FSI).


Katanya, syarikat akan bekerjasama dengan institusi bank Islamik sebagai usaha menambah nilai perkhidmatan perancangan harta pusaka untuk pelanggan Islam mereka yang membeli aset hartanah.


"Selepas itu, kami mungkin mempunyai potensi untuk berkembang kepada aset pengurusan kekayaan lain milik yang disediakan oleh FSI.


"Kami juga merancang mengembangkan produk hibah digital ini ke negara Muslim lain terutama di seluruh Asia Tenggara kerana perancangan hibah pada masa kini adalah mustahak kerana ada aset yang difaraid dan boleh dihibahkan.


"Dengan memperkenalkan platform hibah digital kami kepada pasaran hartanah Islam, kami membolehkan orang Islam yang membeli hartanah mempunyai pilihan untuk merancang terlebih dahulu pengagihan harta mereka kepada waris atau individu terpilih sekiranya berlaku kematian yang tidak dijangka," katanya kepada Bisnes Metro.


Menurutnya, dengan keupayaan hibah Wasiyyah Shoppe, pihaknya juga boleh cuba mengurangkan peningkatan drastik dalam aset tidak dituntut di samping menambah baik rangkuman kewangan dengan memastikan proses pewarisan lancar sekiranya berlaku kematian yang tidak dijangka, sekali gus mengelakkan orang ramai daripada mengalami masalah kewangan yang boleh dielakkan.


Beliau berkata, strategi syarikat adalah untuk menyesuaikan dan menawarkan platform hibah digital lengkap yang boleh ditawarkan kepada pelanggan FSI yang mempunyai pangkalan pelanggan Muslim yang besar.


"Buat masa ini, kami akan memberi tumpuan kepada penawaran hibah untuk pasaran hartanah Islam kerana hartanah adalah salah satu bentuk aset bernilai paling tinggi yang dimiliki oleh mana-mana individu.


"Selepas itu, kami boleh mengembangkan platform hibah digital kami untuk merangkumi aset lain seperti akaun emas dan pelaburan, takaful, akaun semasa dan simpanannya (Casa)," katanya.


Nisa berkata, platform hibah digital perlu disesuaikan untuk segmen FSI, sesuatu yang pihaknya mampu lakukan kerana SASC mempunyai rekod prestasi yang baik dalam membantu FSI memenuhi keperluan pelanggan mereka dengan lebih baik.




bottom of page