top of page

Sedania As Salam tawar penyelesaian penuh perbankan digital

SEDANIA Innovator Berhad menerusi unit teknologi kewangannya (fintech), Sedania As Salam Capital Sdn. Bhd. menawarkan penyelesaian penuh perbankan digital kepada penerima lesen perbankan digital yang diumumkan baru-baru ini.


Ia sebagai usaha mempercepatkan penggunaan perbankan digital.


Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Khairul Nisa Ismail berkata, buat masa ini, konsortium melibatkan AEON Credit Service (M) Berhad yang berjaya memperoleh lesen di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) menggunakan Penyelesaian Dagangan Tawarruq Bersepadu Sedania As Salam untuk institusi kewangan Islam.


Menurut beliau, satu lagi syarikat yang merupakan sebahagian konsortium memperoleh lesen konvensional perbankan digital di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 turut menggunakan khidmat Sedania As Salam.


Sehingga kini, Khairul Nisa memaklumkan telah membantu lebih 80 pelanggan menerusi Platform Komoditi Digital berasaskan API yang dipatenkan syarikat itu membolehkan keupayaan pemprosesan secara terus bagi produk runcit pengguna Islam.


“Kami gembira kerana klien sedia ada memperoleh lesen perbankan digital sama ada konvensional mahu pun Islamik.


“Kami bersedia menyokong pelanggan dengan melancarkan penyeleaian yang sedia digunakan dalam tempoh masa singkat.


“Selain itu, kami berhasrat meneroka peluang menjalinkan usaha sama dengan tiga lagi pemegang lesen perbankan digital kerana Sedania As Salam memiliki keupayaan teknologi dan pengalaman untuk melengkapkan usaha membangun serta mengukuhkan infrastruktur perbankan digital mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Khairul Nisa memaklumkan, akad digital syarikat itu yang unik membezakannya daripada pesaing di pasaran serantau.


Beliau berkata, ia membantu sektor perbankan Islam untuk berhubung dengan pelanggan bagi proses akad yang lancar dan seterusnya membolehkan proses pengeluaran pembiayaan yang lebih pantas.


“Ekosistem terbaharu kami yang tersusun dan tangkas ini menepati keperluan institusi perkhidmatan kewangan yang sedang bergerak pantas ke arah perbankan digital.


“Dalam tempoh 12 bulan lalu, Sedania As Salam terus bekerja rapat dengan rakan kongsi utama kami yang bersaing mendapatkan lesen perbankan digital dengan menyatu padukan platform teknologi kami bersama penyelesaian perbankan mereka,” jelas beliau.


Antara rakan kongsi teknologi yang telah bekerjasama dengan Sedania As Salam termasuk CREALOGIX dan MAMBU yang menggunakan penyelesaian digital dalam persekitaran perbankan digital baharu.


CREALOGIX merupakan syarikat fintech 100 Switzerland adalah peneraju global dalam teknologi perbankan digital dengan pengalaman selama 25 tahun dalam penawaran penyelesaian digital kepada institusi kewangan terkemuka dunia.


MAMBU pula merupakan syarikat perisian Jerman yang beribu pejabat di Berlin menyediakan infrastruktur untuk bank dan penyedia perkhidmatan kewangan mengikut perisian sebagai model perkhidmatan.


bottom of page