top of page

SEDANIA beli 20 peratus saham Wasiyyah Shoppe

KUALA LUMPUR: SEDANIA Innovator Bhd (SEDANIA) menyelesaikan pemerolehan 20 peratus kepentingan dalam Wasiyyah Shoppe Bhd, syarikat amanah patuh Syariah nombor satu di Malaysia.


Ia menandakan kemasukannya dalam pasaran gadai janji Islam yang menguntungkan bernilai kira-kira RM200 bilion, dengan kira-kira 75 peratus daripadanya dipegang oleh penduduk Islam negara ini.


Pemerolehan penyedia penyelesaian pewarisan dan perancangan harta pusaka patuh Syariah itu dibuat melalui unit teknologi kewangan (FinTech) SEDANIA, Sedania As Salam Capital Sdn Bhd dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM3 juta, dibiayai sepenuhnya melalui tunai.

Di bawah perjanjian pemerolehan ekuiti, Wasiyyah Shoppe menyediakan jaminan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3 juta dalam tempoh kewangan 24 bulan bermula 30 Jun 2024.


Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata pemerolehan Wasiyyah Shoppe sudah pasti langkah strategik untuk meningkatkan SEDANIA ke peringkat seterusnya dalam menyediakan penyelesaian fintech Islam yang inovatif dan lestari kepada pelanggan.


"Model perniagaan dan nilai yang dipegang oleh Wasiyyah Shoppe sepadan dengan misi kami untuk meningkatkan kehidupan secara lestari, kerana kaedah hibah menggalakkan kelestarian sosioekonomi dengan memastikan ahli keluarga yang masih hidup tidak terbeban sekiranya berlaku kematian yang tidak dijangka," katanya dalam satu kenyataan.


Azrin berkata, penggabungan perkhidmatan hibah akan meningkatkan kejayaan jangka panjang segmen fintech SEDANIA, kerana hanya 0.2 peratus daripada 15 juta umat Islam di Malaysia telah melaksanakan hibah setakat ini.


Katanya, jumlah aset tidak dituntut negara berjumlah RM70 bilion setakat ini, di mana majoritinya milik orang Islam.


"Melangkah ke hadapan, ini berpotensi membuka peluang untuk menembusi pasaran-pasaran global yang mempunyai jumlah penduduk umat Islam seramai tiga bilion orang," katanya.

Hibah semakin popular di Malaysia sebagai instrumen perancangan harta kerana perspektif berfokuskan Syariah yang unik.


Berhubung dengan pewarisan, Fara'id adalah undang-undang Syariah yang memastikan waris individu yang meninggal dapat menerima pusaka dan pembahagian harta pusaka berdasarkan undang-undang Islam, manakala hibah menyediakan individu Muslim dengan keupayaan untuk merancang pewarisan mereka, sama ada kepada waris atau bukan waris.


Hibah merujuk kepada Maqasid-al-Shariah kerana ia mematuhi keperluan Syariah dan juga mencapai hasil yang dihasratkan Syariah yang memberi tumpuan kepada peningkatan kesejahteraan manusia melalui pemeliharaan harta, iman, nyawa, keturunan dan akal.


Wasiyyah Shoppe muncul sebagai syarikat amanah patuh Syariah yang terbesar di Malaysia.

Menjelang 2025, ia akan menyelesaikan pewarisan aset bernilai RM35 bilion yang telah dirancang dan diamanahkan oleh pelanggan untuk dilaksanakan selepas kematian mereka.

Ia mempunyai rekod prestasi yang kukuh dalam menyediakan penyelesaian pusaka patuh Syariah untuk industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia.



bottom of page