Sedania catat hasil RM9.04 juta pada Q1 dipacu segmen fintech, penjagaan kesihatan mampan

KUALA LUMPUR 31 Mei - Sedania Innovator Berhad (Sedania) terus mencatatkan keuntungan untuk lima suku tahunan berturut-turut apabila merekodkan untung bersih RM510,000 pada suku tahun pertama berakhir 31 Mac 2022 (Q1), dengan pendapatan sebanyak RM9.04 juta.


Berbanding tempoh sama sebelum ini, kumpulan merekodkan keuntungan bersih RM4.89 juta dengan pendapatan sebanyak RM17.07 juta.


Segmen ‘Sustainable Energy’ mencatatkan sumbangan yang lebih rendah, namun perolehan kukuh daripada segmen ‘Sustainable Healthcare’ dan ‘Fintech’ berjaya melonjakkan keuntungan bersih kumpulan.


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pada Q1 kumpulan berjaya mengekalkan momentum positif daripada prestasi kewangan mereka yang membanggakan dalam tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY21). "Ini membuktikan daya tahan model perniagaan kami yang terpelbagai dan mampan. Bahagian ‘Sustainable Energy’ merekodkan pendapatan yang lebih rendah iaitu RM56,000 pada Q1 berbanding RM10.16 juta setahun lalu kerana tiada pemasangan yang disiapkan untuk bangunan di tapak projek di bawah kontrak prestasi tenaganya bagi suku ini.

"Ini menyebabkan segmen itu merekodkan kerugian sebelum cukai RM50,000 berbanding untung bersih RM3.67 sebelumnya. Segmen teras kumpulan yang lain, ‘Sustainable Healthcare’ mencatatkan peningkatan 37% sumbangan pendapatan kepada RM7.32 juta pada Q1

daripada RM5.34 juta setahun lalu, didorong oleh jualan keseluruhan yang lebih tinggi daripada majoriti pasarannya.


"Keuntungan sebelum cukai menyusut 43% kepada RM883,000 berbanding RM1.54 juta pada tempoh sama sebelumnya berikutan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi ekoran penyertaan Offspring dalam TCE Baby Expo yang diadakan pada Mac 2022, serta bayaran yang lebih tinggi kepada kakitangan untuk menyokong pertumbuhan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut Azrin, pendapatan segmen ‘FinTech’ meningkat 19% kepada RM1.15 juta dengan trafik yang lebih tinggi daripada platform Tawarruqnya berbanding setahun lalu.


Beliau berkata, hasilnya,untung sebelum cukai daripada segmen itu meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM413,000 pada Q1 berbanding RM142,000 setahun lalu.


"Melangkah ke hadapan, Sedania optimistik bahawa ia mampu merekodkan prestasi yang lebih kukuh bagi tahun kewangan semasa dirangsang oleh pertumbuhan yang lebih besar daripada kedua-dua perniagaan terasnya, ‘Sustainable Healthcare’ dan ‘Sustainable Energy’,"

katanya.


Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert pula berkata, memandangkan perniagaan ‘Sustainable Energy’ berasaskan projek, pengiktirafan hasil boleh berubah merentasi tempoh berbeza dalam setahun bergantung kepada penyiapan pemasangan bagi setiap

bangunan di bawah projek-projek mereka.


"Contohnya, kami mungkin akan aktif dengan kerja-kerja projek ini dalam beberapa bulan tetapi mungkin kerja pemasangan masih tidak siap, dan ini akan mengakibatkan pengiktirafan keuntungan yang lebih rendah bagi suku tersebut. Dengan pelbagai projek kini dalam

perancangan untuk tahun ini dan seterusnya, kami yakin akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih kukuh berbanding tahun lepas," katanya.


Sementara itu, segmen ‘Sustainable Healthcare’ dan ‘FinTech’ terus mencatatkan kemajuan.

Tambah Azrin, anak syarikat “Sustainable Healthcare” mereka, Offspring Inc Sdn Bhd baru-baru ini menembusi pasaran Togo dan Nigeria dan terus agresif meneroka pasaran baharu untuk berkembang lebih besar daripada 23 negara yang mereka hadir.


"Di bahagian FinTech, kepakaran kami dalam menyediakan penyelesaian bagi kewangan Islamik meletakkan kami di kedudukan strategik untuk menyokong peningkatan infrastruktur digital pada masa hadapan yang diperlukan oleh pemegang lesen perbankan digital yang

diumumkan baru-baru ini,” katanya.





Read Original Article