top of page

Untung bersih Sedania melonjak 29% suku ke suku kepada RM656,000 dipacu 3 segmen utama

Sedania Innovator Bhd. kekal ke arah mencatat keuntungan untuk dua tahun kewangan berturut-turut setelah mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 dipacu segmen penjagaan kesihatan mampan, tenaga mampan dan fintech.


Bagi tempoh itu, kumpulan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM656,000, meningkat 29% daripada RM510,000 pada suku sebelumnya, namun lebih rendah daripada RM3.2 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas disebabkan pelaksanaan tertangguh projek-projek di bawah segmen tenaga mampan.


Namun begitu, kemajuan pelaksanaan projek tenaga mampan adalah di landasan yang lebih baik dan dijangka penyiapan projek adalah lebih tinggi pada separuh kedua 2022. Ini disokong oleh nilai projek yang semakin meningkat untuk 18 bulan akan datang.


Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert berkata, pendapatan daripada segmen tenaga mampan adalah lebih rendah pada suku semasa kerana projek kecekapan tenaga masih dilaksanakan dan kami menjangkakan pengiktirafan pendapatan dapat direkod pada separuh kedua 2022.

"Kami mempunyai senarai projek kecekapan tenaga yang bermanfaat untuk dimulakan dan diselesaikan, di samping mengekalkan dialog aktif dengan pelbagai syarikat multinasional dan perbankan yang ingin melestarikan amalan kecekapan tenaga.


"Oleh demikian, kami optimis tentang keupayaan segmen tenaga mampan untuk menjana pendapatan yang lebih kukuh malah berpotensi memperoleh kontrak baharu pada separuh tahun kedua," katanya dalam kenyataan hari ini.


Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022, Sedania mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.2 juta dan pendapatan sebanyak RM18.1 juta, didorong permintaan kukuh untuk produk bagi segmen penjagaan kesihatan mampan dan penyelesaian fintech.


Pendapatan segmen penjagaan kesihatan mampan meningkat 23% kepada RM14.4 juta pada tempoh itu daripada RM11.7 juta setahun yang lalu manakala sumbangan pendapatan fintech meningkat 13% kepada RM2.4 juta daripada RM2.1 juta.


Bagaimanapun, prestasi positif daripada kedua-dua segmen serta pendapatan stabil yang direkodkan daripada segmen teknologi telekomunikasi sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan pendapatan yang lebih rendah daripada segmen tenaga mampan sebanyak RM179,000 pada separuh pertama 2022 berbanding RM12.9 juta setahun lalu.


Mengenai prospek Sedania, Pengasas dan Pengarah Urusan, Datuk Azrin Mohd Noor yakin kumpulan dapat meneruskan momentum untuk mengakhiri tahun kewangan dengan positif.


"Segmen tenaga mampan, penjagaan kesihatan mampan dan lain-lain berada di kedudukan strategik untuk mencatat pertumbuhan selanjutnya.


"Ini membuktikan daya tahan model perniagaan enjin pertumbuhan berbilang Sedania, yang mengurangkan pendedahan risiko tunggal dan memastikan pertumbuhan berterusan sambil menyokong inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) pada skala yang lebih besar," katanya.


bottom of page