top of page

Untung bersih Sedania melonjak tiga kali ganda, catat RM1.6 juta

SEDANIA Innovator Berhad memulakan 2023 dengan nota baik apabila mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.6 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac lalu.


Untung bersih RM1.6 juta itu juga menyaksikan lonjakan tiga kali ganda berbanding RM510,000 yang direkodkan untuk tempoh sama tahun lalu.


Prestasi keuntungan positif Sedania itu dicapai seiring peningkatan 29 peratus pendapatan syarikat tersebut kepada RM11.7 juta berbanding RM9 juta setahun yang lalu.


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, prestasi cemerlang itu disumbangkan segmen penjagaan kesihatan mampan dan teknologi kewangan (fintech) serta keuntungan operasi yang lebih baik daripada semua segmen perniagaan.


Beliau berkata, keuntungan selepas cukai berjumlah RM1.6 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2023 itu juga melebihi pendapatan tahunan penuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.


Azrin memaklumkan, pencapaian positif itu merintis potensi pertumbuhan memberangsangkan untuk tahun 2023.


“Jenama penjagaan kesihatan mampan (sustainable healthcare) kami iaitu Offspring kini boleh didapati di 26 negara selepas pengembangan pasaran terbaharunya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Mesir.


“Dengan kira-kira 200 negara di dunia dan anggaran peningkatan populasi hampir dua bilion dalam tempoh 30 tahun akan datang, masih terdapat banyak ruang untuk pertumbuhan luas bagi Offspring terutama dunia hari ini yang semakin menghargai dan mengutamakan kelestarian,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Baca artikel berkaitan: SEDANIA As Salam diiktiraf untuk kecemerlangan inovasi


Mengulas lanjut, Azrin berkata, prospek pertumbuhan bagi segmen fintech juga bertambah baik menerusi kerjasama hibah digital dengan syarikat bersekutu terbaharunya iaitu Wasiyyah Shoppe Berhad.


Katanya, Sedania berada dalam kedudukan strategik untuk mengembangkan keuntungan dengan memasuki pasaran yang belum diterokai itu.


“Kami juga mahu memacu warisan lestari dan perancangan kekayaan untuk masyarakat Islam tempatan terutama dengan beberapa institusi perkhidmatan kewangan menyatakan minat terhadap platform hibah digital hujung ke hujung kami yang lengkap,” katanya.


Segmen penjagaan kesihatan mampan Sedania memperlihatkan permintaan lebih kukuh apabila pendapatannya meningkat 26 peratus kepada RM9.2 juta dalam suku pertama 2023 daripada RM7.3 juta tahun sebelumnya.


Pendapatan fintech juga turut melonjak 82 peratus kepada RM2.1 juta daripada RM1.1 juta tempoh sama tahun lalu didorong peningkatan ketara aliran trafik daripada platform perkhidmatan Tawarruq dan GoHalal.




bottom of page