top of page

Offspring kini lebarkan sayap ke benua Afrika

ANAK syarikat Sedania Innovator Berhad, Offspring Inc. Sdn. Bhd. mengorak langkah lebih besar apabila berjaya menembusi pasaran Afrika bagi mengeksport produk-produk penjagaan kesihatannya.


Ia selepas Offspring berjaya menerima tempahan pertama untuk mengeksport produk ke Togo dan Nigeria sekali gus menandakan permulaan bagi syarikat tersebut di Afrika.


Ketua Pegawai Eksekutif Offspring, Roslan Ismail berkata, pencapaian terbaharu itu menepati aspirasi global syarikat berkenaan memandangkan ketika ini telah mempunyai kehadiran di benua lain seperti Eropah, Amerika Utara dan Asia.


Menurut beliau, tempahan pertama dari Togo dan Nigeria menandakan kemajuan besar dalam rancangan Offspring untuk bertapak di Afrika yang merupakan benua kedua terbesar di dunia dan mampunyai penduduk paling ramai.


“Penghantaran yang berjaya pada masa akan datang dijangka melonjakkan jenama kami sekali gus meletakkan Offspring pada kedudukan strategik untuk menarik peluang urus niaga di benua itu.


“Kami optimistik untuk menembusi pasaran Afrika dan yakin produk kami akan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat Afrika dengan jumlah populasi Togo dan Nigeria masing-masing adalah 8.7 juta dan 215.1 juta penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Roslan berkata, pencapaian berkenaan juga merupakan batu loncatan bagi Offspring untuk meraih peluang perniagaan di benua tersebut.


“Ia akan diskong oleh rancangan kami untuk memperkenalkan produk organik lain sebaik jenama Offspring mula berkembang di Afrika,” jelas beliau.


Offspring memasar dan mengeksport rangkaian produk penjagaan kesihatan berasaskan pencegahan.


Ia merangkumi produk bayi yang selamat, semula jadi dan mesra alam seperti lampin, tisu basah berasaskan tumbuhan dan keperluan isi rumah.


Semua produk itu dihasilkan menggunakan bahan tidak membahayakan alam sekitar serta mendorong kepada pelepasan karbon yang rendah.


bottom of page