top of page

Sedania diiktiraf sebagai syarikat kecekapan tenaga terbaik ESG Positive Impact Awards

KUALA LUMPUR 12 Jun - Sedania Innovator Bhd mengumumkan bahawa anak syarikat ‘tenaga lestari’ Sedania Technologies Sdn Bhd diiktiraf sebagai syarikat kecekapan tenaga terbaik.

Sedania Technologies memenangi anugerah emas di bawah kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS)/syarikat ‘Mid-Tier’ bagi Anugerah ESG Positive Impact Awards.


Ketua Pegawai Eksekutif Sedania, Daniel Ruppert berkata, penghargaan itu mengiktiraf syarikat sebagai sebuah organisasi yang telah menunjukkan kecekapan tenaga dan keupayaan penjimatan tenaga sepanjang rantaian bekalan serta nilainya, dengan fokus khususnya kepada inovasi.


"Kami berbesar hati untuk memenangi anugerah ini yang mengesahkan keupayaan dan rekod prestasi anak syarikat tenaga lestari kami dalam memacu Malaysia ke arah mencapai kelestarian pada skala yang lebih luas dan mengurangkan pelepasan karbon.


"Keupayaan unik dan serba boleh Sedania dalam menyediakan kecekapan tenaga, pengurusan tenaga, serta penyelesaian tenaga boleh diperbaharui (RE) mewakili gabungan yang memaksimumkan laluan pelanggan kami ke arah kelestarian tenaga penuh," katanya dalam kenyataan hari ini.


Daniel berkata, setakat ini, usaha berterusan Sedania menguruskan kira-kira 72 gigawatt jam (GWj) tenaga dengan mengubah suai lebih 400 bangunan memuncak kepada penjimatan elektrik sebanyak 107 GWj.


Beliau berkata, ia mengelakkan kira-kira 74,000 tan pelepasan karbon, yang juga bersamaan dengan menanam 1.2 juta pokok baharu," katanya.


"Kami bersedia untuk melengkapkan saluran sihat projek tenaga lestari yang akan dilaksanakan untuk pelanggan sedia ada dan memainkan peranan lebih besar dalam meningkatkan kedudukan kelestarian Malaysia dengan melaksanakan lebih banyak projek daripada pelbagai industri yang berbeza.


"Di samping itu, kami juga sedang meneroka kemungkinan mempelbagaikan saluran projek melalui jenis perniagaan lain seperti PKS," katanya.


Projek tenaga lestari Sedania termasuk kecekapan tenaga dan sistem RE yang direka, dibiayai, dipasang dan diselenggara untuk pelanggannya.


Kebanyakan projek ini dilaksanakan berdasarkan model 'zero capex (sifar perbelanjaan modal)' yang mana Sedania menanggung semua kos dan risiko awal manakala sebaliknya, pelanggan akan diinvois setiap bulan sepanjang tempoh kontrak sebahagian daripada pengurangan tenaga yang dicapai.


Rekod prestasi projek syarikat di Malaysia merangkumi bank, syarikat berkaitan kerajaan yang

ditubuhkan, serta syarikat besar terkemuka.



bottom of page