top of page

Anak syarikat Sedania bakal perluas penguasaannya ke Asia Barat, Afrika

KUALA LUMPUR: Offspring Inc Sdn Bhd (Offspring), anak syarikat milik Sedania Innovator Bhd (SEDANIA) bakal memperluaskan penguasaannya ke pasaran Asia Barat dan benua Afrika melalui perjanjian pengedaran produk Offspring.


Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata melalui perjanjian pengedaran itu, produk Offspring bakal berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Mesir.


“Ia bakal memberi pertumbuhan baharu kepada Offspring kerana mampu mencapai pasaran yang lebih besar.


“Ini adalah susulan kejayaan kumpulan dalam penjualan produk Offspring di Asia Barat bermula dengan Bahrain sejak 2021 serta benua Afrika di Nigeria dan Togo pada 2022,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mengulas lanjut, Azrin berkata, pasaran baharu kumpulan itu mempunyai kuasa beli yang kukuh, saiz pasaran pengguna yang besar dan juga meningkatkan kehadiran Offspring di peringkat global.


Beliau berkata, UAE adalah hab perniagaan utama manakala Arab Saudi adalah salah satu tapak ziarah yang paling banyak dikunjungi di dunia.


Mesir pula, katanya adalah salah satu destinasi pelancongan yang paling pesat berkembang selain mempunyai antara populasi terbesar di dunia.


“Selain itu, pemilihan UAE dan Arab Saudi adalah kerana kedua-dia negara ini adalah antara 30 negara teratas dari segi pendapatan purata.


“Mesir pula adalah antara 20 negara paling ramai penduduk di dunia dengan populasi sekitar 109 juta dan kadar kesuburan 3.2 kelahiran bagi setiap wanita,” katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Offspring, Roslan Ismail berkata pengembangan ke pasaran baharu itu akan meluaskan jejak globalnya ke 26 negara secara keseluruhan.


Beliau berkata, ia juga berpotensi menyerlahkan pengiktirafan jenama Offspring yang semakin meningkat sebagai jenama bayi pilihan yang lestari.


Katanya, ruang besar untuk pertumbuhan dalam setiap pasaran ini secara serentak membuka banyak peluang untuk kumpulan meningkatkan dan mempelbagaikan lagi jualan eksportnya merentasi pasaran geografi yang berbeza.


“Memandangkan prospek dari pengembangan ini kelihatan berpotensi besar, inisiatif strategik kamiuntuk menembusi pasaran ini nampaknya adalah wajar.


“Ini terutamanya kerana produk kami berkembang baik dengan kadar kelahiran yang lebih tinggi dan masyarakat berpendapatan tinggi yang mengutamakan kelestarian,” katanya.


Rangkaian produk Offspring yang premium dan lestari termasuk lampin bayi mesra alam, tisu basah terbiodegradasi sepenuhnya, keperluan penjagaan bayi dan produk isi rumah yang menggunakan bahan bukan toksik, organik dan berasaskan tumbuhan.



bottom of page