top of page

CBP sedia khidmat beli takaful kenderaan, cukai jalan dalam talian

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) melangkah setapak lagi ke hadapan dengan memperkenalkan pembelian takaful kenderaan dan cukai jalan secara dalam talian, bertepatan dengan perkembangan perkhidmatan perbankan secara digital.


Melalui perkhidmatan ini, pelanggan bukan sahaja dapat memilih syarikat takaful yang menawarkan perlindungan yang terbaik pada harga terendah, malah boleh terus memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka di dalam satu platform yang sama.


Ketua Pegawai Komersial CBP, Mohd Faris Kamaruddin, berkata pelanggan mempunyai pilihan membuat bayaran sama ada menerusi akaun bank mereka atau melalui kad kredit.

"Pelanggan hanya memerlukan beberapa minit sahaja masa untuk melengkapkan transaksi pembelian takaful kenderaan dan cukai jalan mereka dengan menggunakan platform ini.


"Perkhidmatan ini disediakan dengan kerjasama rakan strategik digital CBP iaitu Sedania As Salam dan pengendali platform digital, Senang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, untuk menggunakan perkhidmatan ini, pelanggan hanya perlu melawat laman sesawang CBP ataupun mengimbas kod QR yang terdapat di cawanganCBP di seluruh negara atau menerusi pautan yang dikongsi melalui media sosial CBP.


Katanya, CBP yakin dengan pengenalan perkhidmatan terbaru ini akan menarik minat lebih ramai pelanggan dan anggota CBP untuk membeli takaful kenderaan dan memperbaharui cukai jalan.


"Perkhidmatan pembelian takaful kenderaan dan pembaharuan cukai jalan ini akan memberi manfaat kepada lebih 400,000 pelanggan dan anggota CBP," katanya.



bottom of page