top of page

KORAYA sasarkan RM30 juta pembiayaan kepada kontraktor perumahan

KOPERASI Arash Jaya Kelantan Berhad (Koraya) telah menyalurkan pembiayaan patuh syariah hampir RM20 juta kepada kira-kira 400 permohonan kontraktor perumahan terutamanya di negeri Pantai Timur yang terkesan aliran tunai disebabkan COVID-19 melanda seluruh dunia.


Pengerusinya , Rozaidi Abdullah berkata, sambutan menggalakkan itu berikutan Koraya satu-satunya koperasi yang menawarkan pembiayaan jangka pendek bagi sektor kontraktor perumahan di negara ini.


Bagaimana pun menurutnya mereka kurang diberi perhatian oleh institusi kewangan lain berikutan risiko kredit yang tinggi.


“Kelompongan tersebut diisi oleh Koraya bagi membantu kontraktor perumahan mendapatkan pembiayaan jangka pendek demi kelancaran aliran tunai syarikat dan memastikan projek perumahan dapat disiapkan.


“Sehubungan itu, Koraya menyasarkan RM30 juta pembiayaan keseluruhan kepada kontraktor perumahan menjelang akhir tahun 2023.


“Bagaimana pun Koraya hanya memberi fokus kepada kontraktor perumahan yang mana pembeli telah mendapat kelulusan pembiayaan oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) atau Bank,” ujarnya pada Majlis Iftar bersama Koperasi Arash Jaya Kelantan Berhad pada 1 April lalu di Kota Bharu, Kelantan.


Beliau berucap di Majlis Iftar dan Menandatangani tiga Memorandum Persefahaman (MoU), iaitu di antara rakan strategik Koraya, Sinaran Mega Solution Sdn Bhd (SMSSB) dengan Sedania As-Salam Capital Sdn Bhd (Sedania As-Salam), Koraya dengan MyFinB Pte Ltd dan Koraya bersama MFR Evo Resources Sdn Bhd.


Rozaidi menambah, pada tahun 2022, lebih RM10 billion jumlah pembiayaan diluluskan oleh Lembaga Perumahan Pembiayaan Sektor Awam (LPPSA) dan hampir RM160 billion lagi oleh institusi kewangan (bank).


“Jika industri kontraktor perumahan hanya merangkumi 10 peratus sahaja dari keseluruhan transaksi, peluang menggerakkan ekonomi industri pembinaan sudah cukup besar dan secara tidak langsung memberi manfaat kepada lebih 30 sektor lain terutamanya di luar bandar.


“Bagaimana pun kontraktor-kontraktor perumahan kurang diberi perhatian oleh institusi kewangan. Situasi ini mewujudkan kelebihan kepada Koraya dalam pasaran industri dengan memberi pembiayaan patuh syariah kepada sektor kontraktor perumahan mahupun keseluruhan industri hartanah.


“Kemudahan pembiayaan patuh syariah merangkumi latihan pengurusan projek bagi membantu aliran tunai syarikat dan kerja-kerja di tapak pembinaan berjalan mengikut jadual. Ini berikutan harga bahan binaan dan kos buruh yang semakin tinggi .


“Sekiranya gagal disiapkan dalam masa yang ditetapkan, akan menyebabkan lebih banyak projek terbengkalai dan merugikan negara secara keseluruhannya,” katanya.


MoU pertama ditandatangi di antara SMSSB yang diwakili oleh Pengarahnya, Nik Mohd Nasrudeen Nik Ab Rahman dengan Sedania As-Salam yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nisa Ismail.


Pengarahnya , Nik Mohd Nasrudeen berkata, pihaknya dan Koraya berganding bahu untuk mengembangkan lagi kemudahan pembiayaan kepada kontraktor perumahan yang terkesan.


“Kami juga sedang menerokai segmen baru pasaran iaitu pembiayaan hartanah sub-sale yang telah dirintis Koraya bagi membantu pemilik hartanah yang dalam proses jualan mendapatkan kemudahan pembiayaan segera. Ini adalah antara game changer yang kami yakin mendapat sambutan.


“Ditambah kerjasama erat dengan Persatuan Kontraktor Perumahan Malaysia (PKPM) dan maklum balas daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), kami yakin akan membantu syarikat kontraktor terus berdaya maju dan kekal dalam industri,” ujarnya.


Sementara itu Nisa Ismail berkata, kejayaan Sedania As-Salam dalam Program Pembiayaan GoHalal (GHP) yang memperkasakan agensi kredit dan mengembangkan penawaran produk patuh syariah kepada komuniti tempatan dapat djadikan contoh kepada SMSSM dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan Islam yang lestari .


“Tujuan perjanjian juga adalah menggunakan platform Sedania As-Salam bagi memudahkan proses jual beli melalui akad digital As-Sidq Tawarruq, selain memastikan pematuhan patuh syariah terhadap produk yang ditawarkan,” katanya.


MoU kedua pula antara Pengerusi Koraya, Rozaidi Abdullah dengan Pengerusi MyFinB Pte Ltd, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar . MyFinB merupakan sebuah syarikat teknologi Malaysia pertama yang menggunakan Big Data atau data raya dan Artificial Intelligence (AI) untuk membantu perniagaan khususnya dalam pelaburan.


Menurut Tan Sri Dr. Mohd Daud, MyFinB berpengkalan di Singapura dan Kuala Lumpur telah membantu institusi kewangan, agensi kerajaan, akauntan, SME dan pelabur menyelesaikan masalah.


“Melalui kerjasama ini, Koraya akan dibantu oleh MyFinB untuk menyelesaikan masalah kontraktor yang menghadapi cabaran pengurusan aliran tunai, kos buruh yang tinggi, pengurusan projek yang lebih cekap, keperluan perancangan dan reka bentuk yang lebih tepat,” ujarnya.


MoU seterusnya di antara Pengerusi Koraya, Rozaidi Abdullah dengan Pengarah MFR (Evo) Resources Sdn Bhd, Mohd Faiz Rosli.


MFR (Evo) Resources beroperasi di Kelantan dan terlibat dalam banyak perusahaan termasuk membekalkan makanan sejuk beku, peruncitan dan pemborongan, import daging dan ayam beku selama lebih 15 tahun.


Melalui perjanjian tersebut menurut Rozaidi, kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat apabila Koraya akan melebarkan lagi aktiviti koperasi.


Khususnya dalam pembekalan import dan eksport ayam yang menyasarkan sekurang-kurangnya 10 kontena sebulan menjelang tahun hadapan.


Turut diraikan dalam majlis tersebut adalah anak-anak yatim dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (Pekayatim) serta menerima sumbangan dari Sedania As-Salam.




Comments


bottom of page