top of page

Saham Sedania diklasifikasikan semula bawah sektor produk dan perkhidmatan pengguna


PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania)  mengumumkan bahawa sahamnya di Bursa Malaysia telah diklasifikasikan semula di bawah sektor “Produk dan Perkhidmatan Pengguna” dan subsektor “Perkhidmatan Pengguna” berkuat kuasa pukul 9 pagi, 9 Julai 2024.


Pengelasan semula ini merupakan satu titik penting bagi Kumpulan, mencerminkan peralihan strategik Sedani ke arah industri FMCG pengguna dengan tumpuan yang dipertingkatkan terhadap produk dan perkhidmatan yang berorientasikan pengguna.


Ini adalah berikutan kelulusan yang diberi oleh Bursa Malaysia untuk permohonan pengelasan semula Sedania, melalui surat rasmi Bursa Malaysia bertarikh 31 Mei 2024.


Nombor saham dan singkatan saham syarikat, Sedania (0178), kekal dan tidak berubah.


Peralihan sektor ini diperteguh oleh pemerolehan sebanyak 51 peratus kepentingan dalam Tanamera Group Sdn. Bhd. (Kumpulan Tanamera) dan Offspring Inc. Sdn. Bhd. yang masing-masing memiliki jenama Tanamera dan Offspring.


Jenama Tanamera terkenal dengan produk kesihatan dan penjagaan diri Halal semula jadi, manakala jenama Offspring mengkhususkan dalam produk penjagaan bayi organik.


Pemerolehan Kumpulan Tanamera termasuk Tanamera Tropical Spa Sdn Bhd (Tanamera), yang memiliki jenama penjagaan diri dan pasca-bersalin premium Halal yang terkenal dengan penggunaan resipi rawatan warisan Asia dan bahan-bahan tempatan; serta FA Herbs Sdn. Bhd., pengilang OEM bersijil GMP yang terkenal dengan pengilangan halal yang sahih di bawah jenama Tanamera.


Manakala Offspring, jenama bayi organik dari Australia, menawarkan produk penjagaan bayi premium yang mesra alam, selamat untuk bayi, bebas kekejaman (cruelty-free) dan diperbuat daripada bahan yang diperoleh secara mampan.


Pemerolehan ini, bersama dengan pengenalan JOMHIBAH oleh SEDANIA As Salam Capital dan perkhidmatan inovatif lain, adalah integral kepada strategi kami dalam memperluaskan kehadiran pasaran kami dan menyediakan penyelesaian mampan yang selaras dengan keperluan pengguna.


“Matlamat kami adalah untuk menjadi jenama isi rumah (“household name”) yang dipercayai yang sinonim dengan kelestarian, kualiti dan nilai untuk wang.


“Sebelum ini, Sedani disenaraikan di bawah sektor “Telekomunikasi dan Media” dan subsektor “Peralatan Telekomunikasi” sejak disenaraikan di Pasaran ACE pada tahun 2015” kata Pengerusi Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali.


Beliau juga berkata, pengelasan semula itu mencerminkan peralihan strategik kami ke arah perniagaan berfokus pengguna.


“Langkah ini mengukuhkan komitmen kami untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang inovatif dan mampan yang memenuhi keperluan komuniti kami yang semakin prihatin terhadap alam sekitar dan sosial,” katanya.


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor pula berkata, sejak penubuhannya, misi Sedania adalah untuk ‘Meningkatkan Kehidupan Secara Lestari’.


“Ini telah mendorong kepelbagaian kami ke dalam sektor berorientasikan pengguna, melangkaui model perniagaan teknologi airtime sharing asal kami. Kami teruja dengan masa depan Sedania berikutan usaha kami dalam memperluaskan jangkauan pasaran produk disamping memperkenalkan produk baru dan menarik dalam beberapa bulan akan datang,” katanya. – UTUSAN


Comments


bottom of page