top of page

Sedania As Salam tinjau peluang kukuh produk hibah

KUALA LUMPUR: Sedania As Salam Capital Sdn Bhd (Sedania As Salam) melihat peluang pertumbuhan kukuh bagi produk hibah di negara ini berikutan pasaran gadai janji yang besar bernilai kira-kira RM200 bilion.


Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam, Khairul Nisa Ismail, berkata amalan hibah mampu menyelesaikan pertikaian berkaitan harta pusaka terutama hartanah memandangkan hibah membolehkan seseorang Islam menetapkan agihan hartanya ketika masih hidup, sekali gus dapat menghindarkan daripada berlakunya perbalahan dalam kalangan waris selepas kematian.

"Terdapat aset tidak dituntut bernilai RM90 bilion di Malaysia. Setakat ini, hanya 0.2 peratus daripada populasi orang Islam di Malaysia telah buat hibah, iaitu 0.2 peratus daripada 15 juta (jumlah orang Islam) adalah lebih kurang 30,000 orang.


"Daripada 30,000 orang Islam yang memohon, hanya 2.4 peratus yang telah mendaftarkan hibah mereka dengan Mahkamah Syariah, iaitu seramai 720 orang. Justeru, kami melihat peluang pertumbuhan yang besar bagi produk hibah," katanya ketika dalam satu temu bual bersama BH.


Sedania As Salam menjalin kerjasama strategik dengan Wasiyyah Shoppe Bhd (WSB) pada Mac 2023 sebagai syarikat eksklusif untuk memasarkan produk hibah kepada pelanggan bank dan juga syarikat korporat.


Khairul Nisa berkata, berkata, pada masa ini, pihaknya sedang berunding dengan empat hingga lima institusi perkhidmatan kewangan Islam (FSI) untuk menawarkan produk berkenaan dengan memanfaatkan platform digital.


Beliau berkata, pihaknya bercadang untuk memasukkan hibah dalam produk gadai janji yang ditawarkan FSI sebagai penyelesaian dalam pengagihan harta bagi pelanggan beragama Islam.

Katanya, produk hibah yang ditawarkan adalah menerusi platform digital yang lebih mesra pelanggan dengan akad hibah boleh dibuat secara dalam talian.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WSB, Ariffin Sabirin, berkata hibah adalah perancangan harta semasa hidup, alternatif yang diberikan dalam Islam mengikut hukum syarak untuk merancang pengagihan harta.


Beliau berkata, jika harta tidak dihibah, ia akan menjadi harta pusaka dan wajib difaraidkan selepas kematian.


Katanya, pelanggan boleh menghibahkan sebarang jumlah aset atau nilai keseluruhannya, justeru, ia berbeza dengan wasiat yang tidak boleh melebihi satu pertiga daripada aset seseorang.


"Apabila berlakunya kematian, semua harta pusaka adalah milik waris mengikut hukum faraid, di mana semua orang mempunyai hak yang berbeza.


"Alternatif lain adalah hibah sebagai penyelesaian, yang dilaksanakan ketika pemilik aset masih hidup. Harta yang dihibahkan itu akan dikecualikan daripada bahagian pusaka," katanya.

Ariffin berkata, hibah boleh dilakukan bagi sebarang jenis aset seperti hartanah, saham syarikat, saham koperasi, barang kemas, koleksi peribadi, kenderaan, ekuiti persendirian dan sebagainya.


Namun, beliau berkata, sepanjang 20 tahun pengalamannya, hibah hartanah adalah paling lazim memandangkan ia agak rumit jika terdapat ramai waris dalam keluarga.

Sedania As Salam adalah anak syarikat milik penuh Sedania Innovator Bhd (SEDANIA), penyedia teknologi yang memperkasakan institusi kewangan dengan penyelesaian teknologi kewangan (fintech) Islam.



bottom of page