top of page

Sedania catat pertumbuhan cemerlang

Kuala Lumpur: Sedania Innovator Berhad (Sedania), pemangkin alam sekitar, sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia hari ini, mengumumkan keuntungan dan pertumbuhan cemerlang bagi suku keempat 2023.


Dalam kenyataan, Sedania memaklumkan pendapatan syarikat itu melonjak kepada RM14.97 juta, peningkatan sebanyak 86 peratus daripada RM8.07 juta yang dilaporkan pada suku sama pada tahun sebelumnya.


Katanya, pertumbuhan signifikan itu disumbangkan oleh segmen kesihatan mampan dan teknologi kewangan (Fintech).


"Pada tahun lalu, Sedania melaporkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM5.94 juta iaitu peningkatan memberangsangkan, berbanding RM2.13 juta yang direkodkan pada 2022.


"Keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti pula menyaksikan lonjakan luar biasa melebihi 560 peratus kepada RM5.12 juta berbanding RM768,000 pada tempoh sama tahun lalu," katanya.


Menurutnya, bagi tempoh kumulatif 2023, jumlah pendapatan Sedania meningkat 28.9 peratus kepada RM49.42 juta daripada RM38.35 juta yang direkodkan untuk tempoh sama pada tahun sebelumnya.


"Pendapatan segmen kesihatan mampan pada suku keempat tahun lalu meningkat kepada RM12.26 juta menyaksikan lonjakan sebanyak 83.79 peratus dari suku keempat pada 2022.

"Pendapatan segmen Fintech pada tempoh sama turut meningkat sebanyak RM2.33 juta iaitu peningkatan sebanyak 53.19 peratus dari suku sama tahun lalu," katanya.


Dalam pengumuman terkini di Bursa Malaysia, syarikat itu menyatakan bahawa tahun kewangan semasa yang secara tradisinya berakhir pada 31 Disember akan bertukar kepada akhir tahun kewangan baru iaitu pada 30 Jun.


"Perubahan ini bermaksud tahun kewangan semasa akan dipanjangkan dari 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2024 meliputi tempoh 18 bulan," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Sedania, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, berlandaskan dorongan prestasi kewangan kukuh, pihaknya optimis dan memberi fokus untuk mencapai kejayaan cemerlang.


"Kami sentiasa berhati-hati dan memberikan komitmen sepenuhnya untuk melakukan yang terbaik," katanya.


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor pula memaklumkan sangat berbesar hati dengan pencapaian luar biasa syarikat, tahun lalu sekali gus memperkukuhkan kedudukan syarikat sebagai pemangkin strategi ESG di Malaysia.


"Kami yakin untuk mengekalkan keuntungan dengan sumbangan signifikan daripada segmen kesihatan mampan dan Fintech pada 2024 dan seterusnya," katanya.



bottom of page