top of page

Sedania peroleh 51% kepentingan dalam Tanamera bernilai RM8.18 juta

KUALA LUMPUR 6 Nov - Sedania Innovator Bhd mengukuhkan kedudukannya dalam segmen penjagaan kesihatan mampan dengan pemerolehan sebanyak 51% kepentingan dalam Tanamera Group Sdn Bhd. Ia berikutan pemeteraian perjanjian jualan saham (SSA) dan perjanjian langganan (SA) antara Sedania dan Tanamera hari ini.


Cadangan pemerolehan secara tunai sebanyak RM8.18 juta akan dibiayai oleh dana dalaman, dan dijangka dapat diselesaikan pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024. Buat masa ini, segmen penjagaan kesihatan mampan, iaitu produk bayi organik premium, Offspring Inc yang juga merupakan anak syarikat milik Sedania dengan pemilikan sebanyak 51%.


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, kerjasama strategik itu juga dapat memberi peluang lebih besar untuk perbelanjaan isi rumah, di samping dapat mengembangkan nilai rantaian dan mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai peneraju dalam kapasiti untuk mereka bentuk dan pengilangan produk penjagaan kesihatan mampan. "Langkah ini membolehkan syarikat mempertingkatkan rangkaian produk, menguatkan proposisi jualan unik kami, dan akhirnya meningkatkan margin keuntungan kami.


"Ini membuka peluang lebih besar bagi Tanamera kerana ia dapat memperluaskan pasarannya dan mengukuhkan kedudukan dalam memanfaatkan 800 titik penjualan produk Offspring di Malaysia serta peringkat antarabangsa yang kini sudah pun berada di 26 negara," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.


Menurut Azrin, kehadiran jenama Tanamera ke dalam keluarga Sedania bukan setakat mengembangkan perniagaan semata-mata. Ia adalah kepercayaan dan inovasi yang memberi manfaat kepada perniagaan tetapi juga kepada setiap ibu dan anak. "Dengan penggunaan secara meluas dalam kalangan para ibu yang mempercayai jenama Offspring, kini mereka dapat keyakinan yang sama terhadap Tanamera. Ia bukan hanya sinergi dalam perniagaan, malahan lembaran baru untuk generasi seterusnya," katanya.


Tanamera adalah pengeluar produk penjagaan peribadi premium dan suplemen makanan. Dengan pengalaman lebih dari 20 tahun, Tanamera menghasilkan formulasi dan produksi pelbagai produk penjagaan badan seperti sabun, skrub, minyak urut, dan minyak esensial, yang menggunakan bahan tumbuhan tropika semula jadi. Semua produknya adalah 100% berasaskan tumbuhan dan bebas dari pengawet kimia. Syarikat itu juga menyediakan perkhidmatan pengilangan kontrak untuk pelanggan antarabangsa. -





bottom of page