PETALING JAYA: Sedania Innovator Bhd (Sedania) menyasarkan untuk menjadi syarikat barangan pengguna laris (FMCG) multinasional pertama di Malaysia dengan pendapatan mencecah RM500 juta.
Pengasas dan Pengarah Urusannya, Datuk Azrin Mohd Noor, berkata bagi merealisasikan visi perniagaan baharunya, Sedania telah menyusun semula operasinya di bawah kategori produk pengguna dan perkhidmatan pengguna.
"Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ini bukan hanya untuk melihat kembali perjalanan kami tetapi untuk menyambut permulaan baharu.
"Kami mahu memberi inspirasi kepada generasi muda dengan membuktikan bahawa jenama FMCG yang diiktiraf di peringkat global boleh lahir dari Malaysia," katanya kepada media selepas AGM ke-10 Sedania di sini, hari ini.
Azrin berkata, kategori produk pengguna dan perkhidmatan pengguna menterjemahkan prestasi positif apabila menyumbang lebih 70 peratus daripada pendapatan Sedania.
Katanya, pertumbuhan luar biasa jenama seperti Offspring, Tanamera dan JOMHIBAH menyaksikan syarikat komited untuk memacu lagi jenama terbabit.
"Tidak seperti syarikat lain yang hanya mewakili jenama antarabangsa, kami memiliki jenama kami sendiri. Pemilikan ini menjadi asas kepada perjalanan kami menuju kedudukan sebagai peneraju global," katanya.
Beliau berkata, usaha itu disokong oleh perubahan strategik, termasuk penyusunan semula pasukan kepimpinan, pelantikan ahli lembaga pengarah yang berintegriti tinggi dan struktur tadbir urus yang lebih baik.
Selain itu, katanya, strategi Sedania turut memberi tumpuan kepada daya tahan ekonomi melalui pelbagai vertikal seperti perniagaan kepada pengguna (B2C), perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan perniagaan kepada perniagaan kepada pengguna (B2B2C).
"Pemelbagaian ini mengurangkan risiko daripada ketidaktentuan global, termasuk turun naik ekonomi atau pergolakan geopolitik. Perniagaan kami dilindungi dengan baik untuk mengatasi cabaran pasaran, memastikan kelestarian dan pertumbuhan yang konsisten," katanya.
Bagi meningkatkan keuntungan Sedania, Azrin berkata ia berjaya mengurangkan kos barang dijual (COGS) sebanyak 20 peratus dan menjimatkan kos pengedaran sebanyak 10 peratus.
"Penjimatan ini dilaburkan semula dalam inisiatif membina jenama untuk bersaing dengan lebih berkesan di pasaran antarabangsa.
"Kami bukan hanya berkembang, tetapi meningkat dengan pantas untuk mencapai perolehan tahunan RM500 juta, ambang untuk menjadi FMCG multinasional sebenar," katanya.
Beliau menambah, peluang baharu juga muncul dengan kejayaan produk Tanamera terutama di China dan Vietnam, serta kerjasama dengan pusat pasca-bersalin.
"Sedania turut memperoleh kontrak bernilai RM150 juta di China, yang meletakkannya untuk pengembangan lebih jauh di seluruh Asia," katanya. - Berita Harian
תגובות