SEDANIA teruskan transformasi strategik, catat pendapatan belum audit RM78.3 juta
- Sedania Innovator
- Aug 30, 2024
- 2 min read
SEDANIA Innovator Berhad meneruskan transformasi strategik perniagaan dengan menumpukan kepada sektor produk dan perkhidmatan pengguna.
Menerusi transformasi strategik tersebut, SEDANIA berjaya mencatatkan jumlah pendapatan belum diaudit sebanyak RM78.3 juta untuk penyata kewangan penuh 18 bulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.
Jumlah tersebut merupakan satu peningkatan ketara daripada kadar hasil berjumlah RM38.35 juta bagi penyata kewangan penuh 12 bulan yang telah diaudit untuk tahun kewangan 2022.
SEDANIA dalam kenyataan memaklumkan, prestasi tahun kewangan 2024 itu menunjukkan pertumbuhan yang dipergiat dalam tempoh transformasi disokong pendapatan stabil dan berdaya tahan berpunca daripada model perniagaan terkini berasaskan pengguna yang pelbagai.
Katanya, syarikat itu mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM570,000 bagi tahun kewangan 2024 bersandarkan penyusutan nilai sekali bagi segmen tenaga lestari, lantas menunjukkan langkah jelas dalam proses transformasi tersebut.
Pengerusi SEDANIA, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, perkembagan syarikat itu bagi tahun kewangan ini menunjukkan titik permulaan penting dalam perjalanan transformasi strategiknya.
Beliau berkata, prestasi suku semasa iaitu suku keenam 2024 mencerminkan keputusan strategik yang diambil untuk mengkalibrasi semula segmen tenaga lestari.
“Langkah ini penting untuk memastikan asas yang kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang kami.
“Kemajuan perniagaan yang dicapai setakat ini dalam segmen FMCG lestari dan teknologi pengguna lestari sudah menunjukkan bahawa kami sedang menuju ke arah model perniagaan yang lestari.
“Dalam melangkah ke fasa baharu, kami komited untuk memastikan tempoh pengkalibrasian strategi ini melahirkan pertumbuhan mampan di samping mencipta nilai untuk pihak-pihak berkepentingan, sejajar dengan misi kami untuk memperbaiki kehidupan secara lestari,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, syarikat itu telah menunjukkan prestasi pendapatan yang positif dengan trajektori yang meningkat.
Jelasnya, perkara itu membuktikan ketahanan model perniagaan berorientasikan pengguna.
“Dengan peralihan kepada sektor konsumer, keberdayasaingan perniagaan teras kami bukan sahaja dapat mengukuhkan keupayaan untuk menghadapi sebarang cabaran tetapi juga menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan mampan pada masa akan datang.
“Melihat ke hadapan, strategi kami untuk menumpukan usaha kami dalam segmen FMCG lestari dan teknologi pengguna lestari dijangka meningkatkan pertumbuhan pendapatan kami,” katanya.
Azrin turut meluahkan rasa teruja dengan prospek pertumbuhan baharu yang digerakkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Hock Guan dan disokong pasukan pengurusan manakala Ahli Lembaga Pengarah baharu SEDANIA, Tun Md Raus Sharif yang juga bekas Ketua Hakim Negara turut menyumbang pandangan dan perspektif bernas dan strategik. - Utusan TV
Comments