top of page

Tingkat kesedaran ambil hibah

Petaling Jaya: Inisiatif dalam bentuk pendidikan dan kesedaran mengenai hibah perlu dilaksanakan secara holistik bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk perancangan awal pengurusan harta, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sedania As Salam Capital (SASC), Khairul Nisa Ismail.


Menurutnya, isu aset beku di Malaysia kini berjumlah RM90 bilion, yang mana 90 peratus daripadanya membabitkan aset kaum Melayu, manakala aset beku membabitkan industri hartanah pula dianggarkan bernilai RM200 bilion dengan 75 peratus pemilikan oleh populasi Muslim.


"Ini kesukaran dihadapi untuk kelangsungan hidup bagi isteri dan anak kerana pencari nafkah keluarga tidak membuat perancangan pusaka.


"Justeru, isu aset beku di Malaysia kini mencecah RM90 bilion, serta jarang mendapat perhatian serius, apatah lagi kebanyakan pusaka tertunggak membabitkan isu hartanah," katanya kepada Bisnes Metro.


Menurutnya, kerjasama SASC dan Wasiyyah Shoppe Berhad (WSB) adalah untuk memasarkan penyelesaian hibah kepada institusi perkhidmatan kewangan (FSI), dan pihaknya komited menawarkan kepakaran hibah secara digital.


Beliau berkata, disebabkan isu aset beku banyak membabitkan hartanah, pihaknya menawarkan hibah dalam pembiayaan rumah kepada institusi kewangan.

"Banyak peluang dapat diterokai supaya dapat memudahkan semua orang menyelesaikan masalah pengagihan harta ini.


"Platform digitalisasi ini menawarkan kemudahan hibah tanpa membebankan penerima aset dari segi kewangan, jadi kami sekarang mempunyai hibah yang mudah iaitu melalui proses digital dan mobile (mudah alih).


"Tidak lama lagi kami akan menawarkan produk hibah pertama di dunia yang menggunakan proses secara digital termasuk akad hibah," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WSB, Ariffin Sabirin berkata, penting untuk memberi kesedaran dan pendidikan berterusan kepada semua Muslim mengenai hibah termasuk pembeli aset.


"Kami akan terus aktif memberi kesedaran hibah kepada rakan FSI kami supaya mereka yang membuat pinjaman untuk membeli aset boleh buat perancangan terdahulu (al-wasitah).


"Ini kerana wasiat boleh terbatal atau dicabar jika waris lain tidak bersetuju, manakala hibah tidak begitu, kita boleh memberikan sebanyak mana harta kepada penerima (waris atau bukan waris) untuk apa saja jenis aset dan nilai (sehingga 100 peratus)," katanya.



bottom of page