Tun Md Raus dilantik Ahli Lembaga Pengarah SEDANIA yang baharu
- Sedania Innovator
- Aug 6, 2024
- 2 min read
Updated: Dec 3, 2024

BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA) berkuatkuasa pada 2 Ogos lalu.
Pengerusi SEDANIA, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, pengalaman Md Raus yang luas akan menjadi tunjang kepada syarikat tersebut.
Jelas beliau, kepakaran yang dimiliki Md Raus juga akan mendorong SEDANIA ke arah pertumbuhan dan kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
“Pengalaman kehakiman beliau yang luas, perkhidmatan yang cemerlang dan kepimpinan akan menjadi tunjang kepada SEDANIA, terutamanya dalam perlaksanaan inisiatif strategik SEDANIA.
“Kepakaran Tun bukan sahaja akan mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap tadbir urus yang baik, tetapi juga membantu mendorong syarikat ke arah pertumbuhan dan kejayaan yang lebih cemerlang dalam tahun-tahun yang akan datang.
“Adalah suatu penghormatan bagi kami untuk melantik Tun Raus, seorang ahli terkemuka dalam bidang undang-undang dan kehakiman di Malaysia, sebagai ahli Lembaga Pengarah kami,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, pelantikan Md Raus sebagai Ahli Lembaga Pengarah menjadi detik penting bagi syarikat berkenaan.
Katanya, Kepakaran undang-undang dan kualiti kepimpinan beliau yang mendalam akan menjadi asas dalam membentuk hala tuju strategik SEDANIA.
“Ini juga memastikan SEDANIA terus cemerlang dalam komitmen kami terhadap inovasi dan kelestarian.
“Kami amat teruja dengan kehadiran Tun Raus di dalam Lembaga Pengarah dan yakin bahawa sumbangan Tun akan mengukuhkan lagi perjalanan dalam mencapai matlamat jangka panjang kami,” katanya.
Untuk rekod, Md Raus membawa bersama beliau kerjaya yang cemerlang dan gemilang dalam kehakiman dan perkhidmatan undang-undang Malaysia yang bermula pada tahun 1976.
Beliau telah memegang pelbagai jawatan penting dalam kehakiman Malaysia termasuk Presiden Mahkamah Sesyen, Timbalan Pendakwa Raya, serta Penasihat Undang- Undang kepada beberapa kementerian termasuk Kementerian Perdagangan Antarabangsa; Kementerian Pertahanan; dan Kementerian Dalam Negeri.
Md Raus juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Undang-Undang Negeri bagi negeri-negeri Melaka dan Kelantan, dengan jawatan terakhirnya dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Undang-Undang sebagai Peguam Perbendaharaan di Kementerian Kewangan.
Pada 1 November 1994, Md Raus dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman dan kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 Januari 1996.
Tempoh perkhidmatan Md Raus sebagai Hakim Mahkamah Tinggi menyaksikan beliau berkhidmat di Shah Alam, Muar, Pulau Pinang, dan Bahagian Jenayah Kuala Lumpur, Bahagian Sivil (Mahkamah Keluarga), Bahagian Komersial, dan Bahagian Kuasa Rayuan dan Khas.
Beliau dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 28 Julai 2006 dan kemudian ke Mahkamah Persekutuan pada 14 Oktober 2009.
Md Raus mencapai puncak kerjayanya apabila beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara Malaysia yang ke-14 pada 1 April 2017.
Di peringkat antarabangsa, Md Raus diberi penghormatan untuk berkhidmat sebagai Presiden Persatuan Mahkamah Perlembagaan Asia dan Institusi Seumpamanya serta menjadi ahli aktif Majlis Ketua Hakim Negara ASEAN (Council of ASEAN Chief Justices) (“CACJ”). - Utusan TV
Comments