top of page

Untung bersih SEDANIA naik 3 kali ganda dalam tempoh 9 bulan

PEMANGKIN Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), SEDANIA Innovator Berhad (Kumpulan SEDANIA) terus mencatatkan keuntungan dan pertumbuhan yang stabil pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFYE23).


Keuntungan bersih SEDANIA meningkat dua kali ganda pada suku ketiga kepada RM801,000 berbanding RM323,000 pada suku yang sama tahun 2022.


Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, keuntungan bersih juga melonjak kepada RM3.8 juta, peningkatan tiga kali ganda daripada RM1.12 juta berbanding tahun sebelumnya.


Hasil bagi 3QFYE23 berjumlah RM10.62 juta, menyumbang kepada jumlah keseluruhan dalam tempoh sembilan bulan sebanyak RM34.45 juta.


Pertumbuhan ini meningkat sebanyak 14 peratus bagi tempoh yang sama pada tahun 2022, peningkatan berterusan bagi pihak SEDANIA.


Segmen FinTech mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 30 peratus kepada RM2.13 juta dalam 3QFYE23, berbanding RM1.64 juta dalam tempoh yang sama bagi tahun sebelumnya.


Pertumbuhan ini dipacu oleh aktiviti mampan pada platform Tawarruq dan Go Halal, yang telah menunjukkan kemajuan berterusan oleh anak syarikat kumpulan dalam industri FinTech.


Pengasas dan Pengarah Urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, segmen fintech menuju ke tahun yang lebih menarik seiring dengan pertumbuhan portfolio penyelesaian FinTech patuh syariah untuk Institusi Perkhidmatan Kewangan (FSIs).


“Kami memberikan komitmen sepenuhnya untuk mengembangkan perkhidmatan kami. Langkah ini penting dalam usaha kumpulan untuk menjadi syarikat gergasi dalam teknologi fintech Islam.


“Lonjakan ini dipacu oleh perkhidmatan As-Sidq iaitu platform masa nyata digital, yang penting untuk transaksi Tawarruq bagi memfasilitasi pembiayaan Islam melalui perdagangan komoditi. Di samping itu, ekosistem rangkaian fintech Islam kami, membuka peluang bagi institusi kewangan untuk memajukan transformasi digital mereka.


“Pendekatan inovatif kami juga bertujuan untuk menarik minat pelbagai FSIs dengan tawaran produk serta perkhidmatan terkini kepada pelanggan mereka. Ini bukan hanya tentang pertumbuhan semata-mata, tetapi anjakan ke arah masa depan yang transformatif dalam dunia teknologi kewangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.


Azrin menambah pada tahun 2023, SEDANIA berhasrat untuk terus berkembang dalam semua segmen perniagaannya.


“Bagi suku ketiga tahun 2023, segmen Penjagaan Kesihatan Lestari, Offspring telah menyumbang RM8.08 juta kepada jumlah keseluruhan hasil kumpulan.


“Offspring dijangka akan terus melebarkan pasarannya ke negara-negara yang mempunyai kepadatan populasi, di samping meningkatkan jumlah saiz bakul purata, pangkalan pelanggan dan titik jualan,” katanya lagi.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SEDANIA, Daniel Ruppert berkata, usaha dalam bidang FinTech merupakan komitmen pihaknya untuk menginovasi penyelesaian patuh syariah.

Jelasnya, komitmen ini merupakan asas kepada pendekatan SEDANIA dalam mengembangkan produk dan perkhidmatan yang selari dengan keperluan pasaran semasa.


“Tambahan pula, komitmen kami diperkukuhkan lagi dengan kejayaan platform seperti Tawarruq dan Go Halal.


“Platform-platform ini bukan sahaja berupaya meluaskan pasaran secara keseluruhan, tetapi juga mampu menyasarkan pertumbuhan dalam aspek keperluan beretika perkhidmatan kewangan.


“Pencapaian pertumbuhan melalui pelbagai inisiatif membuktikan ia sejajar dengan kehendak pengguna masa kini dan keupayaan kami untuk beradaptasi dengan perubahan pasaran yang dinamik,” katanya.




bottom of page