top of page

SEDANIA As Salam tandatangan MoU dengan Co-opbank Pertama


SEDANIA As Salam Capital Sdn Bhd telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Koperasi Co-opbank Pertama Malaysia Berhad (Co-opbank Pertama).


MoU itu adalah untuk menjad rakan kongsi digital dalam mempercepatkan inisiatif digital Co-opbank Pertama.


Ketua Pegawai Eksekutif SEDANIA As Salam, Nisa Ismail berkata, MoU tersebut menandakan pembangunan yang amat penting dalam mencapai matlamat berterusan untuk mempercepatkan penggunaan perbankan digital di Malaysia.


Jelas beliau, hal itu kerana SEDANIA As Salam telah diamanahkan untuk memulakan proses pendigitalan bagi bank koperasi kedua terbesar negara.


“Kepakaran dan rekod prestasi kami yang kukuh dalam membangunkan ekosistem perbankan Islam digital yang boleh dipercayai oleh institusi kewangan terkemuka telah memberikan kami keyakinan untuk memulakan transformasi digital Co-opbank Pertama.


“Kami juga berharap untuk melangkaui pembangunan pelan tindakan kami bagi pendigitalan Co-opbank Pertama.


“Hal ini kerana rangkaian penyelesaian teknologi kewangan Islam patuh Syariah hujung-ke-hujung kami berpotensi untuk memperkasakan semua sudut operasi perbankan mereka,” katanya dalam kenyataan.


Mengulas lanjut, Nisa berkata, usaha itu akan dibantu oleh pengalaman luas SEDANIA As Salam dalam menyediakan penyelesaian teknologi kewangan Islam.


Jelas beliau, antaranya perkhidmatan Tawarruq untuk pelbagai pelanggan perbankan koperasi yang berbeza.


“Selain itu, infrastruktur perbankan digital juga dapat memacu rangkuman kewangan yang lebih baik untuk aktiviti perbankan.


“Hal iini kerana aktiviti perbankan akan menjadi lebih mudah untuk diakses bagi segmen yang kurang mendapat perkhidmatan ini,” katanya,


Sementara itu, Pengerusi Co-opbank Pertama, Datuk Baharom Embi berkata, pendigitalan itu memainkan peranan penting dalam persekitaran perniagaan hari ini.


Jelas beliau, hal itu kerana ianya dapat meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan penyelesaian yang lebih komprehensif dan mesra pelanggan.


“Ini termasuk penglibatan pemasaran dan jualan yang lebih baik, serta promosi yang lebih menarik untuk pelanggan baharu terutamanya daripada generasi muda.


“Pada masa yang sama meningkatkan usaha yang bertujuan untuk mengekalkan pelanggan.


“Bersama dengan SEDANIA As-Salam, kami juga aktif meneroka pelbagai peluang untuk menyediakan lebih banyak perkhidmatan perbankan digital untuk kemudahan pelanggan kami.


“Pendigitalan adalah salah satu pelan tindakan utama dalam pelan perniagaan strategik jangka panjang bank kami.


“Oleh itu, kerjasama ini diharapkan dapat menambah nilai dan mengukuhkan jenama Co-opbank Pertama sebagai bank koperasi yang menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan perbankan yang inovatif dan mesra pelanggan untuk pasaran tempatan,” katanya.



bottom of page