top of page

Pendapatan Sedania melonjak hampir 10 kali ganda kepada RM10.84 juta

PENDAPATAN Sedania Innovator Berhad (Sedania) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021 dilaporkan melonjak hampir 10 kali ganda kepada RM10.84 juta berbanding RM1.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu.


Pencapaian lebih tinggi itu sekali gus menyaksikan pendapatan keseluruhan Sedania bagi separuh pertama tahun ini mencecah RM27.9 juta.


Keuntungan selepas cukai Sedania turut naik mendadak kepada RM3.22 juta berbanding kerugian selepas cukai pada paras RM2.95 juta dalam suku kedua 2020 dengan keuntungan lebih tinggi direkodkan sejajar peningkatan pendapatan keseluruhan.


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, peningkatan perolehan syarikat itu adalah hasil sumbangan lebih tinggi daripada tiga segmen operasi iaitu teknologi kesihatan (Healthtech), teknologi hijau (Greentech) serta teknologi kewangan (Fintech).

Menurut beliau, segmen healthtech juga menyumbang sejumlah RM6.4 juta kepada jumlah hasil Kumpulan itu pada suku kedua 2021.


Katanya, pendapatan syarikat dalam segmen Greentech pula merekodkan RM2.74 juta pada suku kedua berbanding hanya RM20,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, segmen Fintech turut berkembang dua kali ganda daripada pendapatan RM513,000 tahun lalu kepada RM1.12 juta tahun ini.


“Tahun ini adalah tahun yang mengujakan bagi Sedania kerana kami bermula dengan baik apabila memperoleh keputusan yang kukuh pada suku pertama.


“Dalam suku kedua pula, Kumpulan terus mencatatkan kemajuan dan sekali lagi berjaya melangkaui jangkaan walaupun berhadapan dengan krisis kesihatan global serta keadaan ekonomi yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas mengenai segmen perniagaan, Azrin berkata, anak syarikat dalam segmen Healthtech iaitu Offspring telah menembusi pasaran ke-17 di seluruh dunia.

Kata beliau, rancangan pengembangan global itu telah merangsang pertumbuhan pendapatan kukuh di samping mencipta peluang pasaran baharu.


Segmen Greentech pula, Azrin memaklumkan lonjakan perolehan itu disumbangan daripada model energy performance contact (EPC) dengan sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka.

Menurut Azrin, segmen Fintech pula sebahagian besarnya disumbangkan segmen pelanggan baharu yang majoritinya daripada agensi kredit.


“Kami percaya bahawa model utama perniagaan kami dalam sektor teknologi digital serta pendekatan yang unik membina perniagaan akan memberi kelebihan daya saing tinggi serta terus menjadi pemangkin pertumbuhan dalam pasaran yang mencabar dan tidak menentu ini.

“Syarikat kini berada dalam kedudukan lebih kukuh dan kami optimis untuk mencapai pulangan yang padu untuk baki tahun ini,” jelas beliau.



bottom of page