top of page

Sedania raih untung RM10.54 juta, tertinggi sejak IPO

SEDANIA Innovator Berhad (Sedania) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) terbaik sebanyak RM10.54 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FYE2021).


Pengasas dan Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, keuntungan itu merupakan pencapaian mengagumkan setelah melalui tempoh pandemik Covid-19 yang mencabar pada 2020.


Katanya, pada tempoh pandemik Covid-19 2020, Sedania mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) sebanyak RM8.53 juta.


“Pada FYE2021, Sedania mencapai pendapatan terbaik sebanyak RM49.10 juta, peningkatan 65 peratus tahun ke tahun daripada RM29.74 juta tahun lepas.


“Ini dirangsang jualan yang lebih kukuh daripada segmen Sustainable Energy dan Sustainable Healthcare.


“Segmen inisecara kolektif menyumbang 87% kepada jumlah pendapatan Sedania,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Mengulas lanjut, Azrin berkata, segmen Sustainable Energy merupakan perniagaan yang berprestasi tinggi dimana pendapatan melonjak 8.25 kali ganda kepada RM15.65 juta pada FYE2021.


Katanya, segmen tersebut merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM7.29 juta pada FYE2021 setelah ia dapat menjalankan aktiviti di tapak berikutan penutupan yang berlarutan pada 2020.


“Kami berbangga dengan satu lagi pencapaian sejak penyenaraian Sedania pada 2015 dengan keputusan tahunan terbaik, iaitu penumpuan ke arah perniagaan Sustainable Energy dan Sustainable Healthcare.


“Keputusan cemerlang ini dapat dicapai kerana usaha dan dedikasi kakitangan kami di Sedania,” katanya.


bottom of page